TANGISAN RASULULLAH SAW DI PADANG MAHSYAR
Dari Usman bin Affan bin Dahaak bin Muzahim daripada Abbas r.a., bapa
saudara Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud:
“Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur(bumi)
pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat
yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya
berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat
yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur,
mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka
semua akan berkata: “Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami
bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh
Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul.”
Ibnu Abbas r.a berkata: “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di
hari kiamat ialah Muhammad SAW. Jibril a.s. akan datang kepadanya bersama
seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota.
Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga.”
Jibril a.s. akan menyeru: “Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad SAW?”
Bumi akan berkata: “Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur.
Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu di
mana kubur Muhammad SAW.”
Rasulullah SAW bersabda: “Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari
kubur Nabi Muhammad SAW ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas
kubur.”
Israfil bersuara: “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!”
Maka, kubur terbelah dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula
terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika Rasulullah SAW berdir, baginda SAW
telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda SAW. Baginda SAW
melihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada lagi bangunan. Baginda SAW
menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi.
Jibril as berkata kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu
di sisi Allah Taala di tempat yang luas.”
Baginda SAW bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?”
Jibril a.s. menjawab: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari
kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah
Taala.”
Baginda SAW bersabda: “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!”
Jibril as. berkata: “Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?”
Baginda SAW bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku.”
Jibril a.s. berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang
terpacak di atasmu?”
Baginda SAW bersabda: “Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya
kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?”
Jibril a.s. berkata: “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh
bumi daripada manusia, sebelummu?”
Baginda SAW bersabda: “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini.
Aku akan mensyafaatkan umatku.”
Jibril a.s. berkata kepada baginda SAW: “Tungganglah Buraq ini wahai
Muhammad SAW dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!”
Jibril a.s. datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq cuba
meronta-ronta. Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak
malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah
Taala perintahkan kepadamu agar mentaatinya?”
Buraq berkata: “Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia
mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya,
Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang
belum pernah terjadi sebelum ini.”
Baginda SAW bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan
syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu
dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Nabi
Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih,
malaikat Israfil as menyeru: “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur,
tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat
yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang
buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha
Perkasa.
Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya
ada beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan
berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan
kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya,
terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan
tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.
Allah Taala berfirman: “Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala
tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian
mereka adalah golongan yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah
golongan yang celaka dan derita.”
Malaikat Israfil a.s. menjerit: “Wahai roh-roh yang telah hancur!
Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di
hadapan Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman: “Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan
setiap roh pada tubuh-tubuhnya!”
Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh pun keluar untuk
mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar
dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing
melihat.
Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk.
Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi
Muhammad SAW merupakan satu umat (kumpulan). Nabi SAW berhenti memperhatikan ke
arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan.
Jibril as menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke
tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala.”
Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi
Muhammad SAW berjumpa satu umat, baginda SAW akan bertanya: “Di mana umatku?”
Jibril a.s. berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.”
Apabila nabi Isa a.s. datang, Jibril a.s. menyeru: “Tempatmu!” Maka Nabi
Isa a.s. dan Jibril a.s. menangis.
Nabi Muhammad SAW berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.”
Jibril a.s. berkata: “Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?”
Nabi Muhammad bertanya: “Di mana umatku?”
Jibril a.s. berkata: “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat
dan perlahan.”
Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu
bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?”
Jibril a.s. berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!”
Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan
selawat kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya.
Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga
gembira terhadap mereka. Nabi Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka
menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai
Muhammad!”
Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman
mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di
sisinya. Umat-umatnya menangis.
Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala
seruan yang menyeru: “Di mana Jibril?”
Jibril a.s. berkata: “Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang
tersembunyi: “Di mana umat Muhammad SAW?”
Jibril a.s. berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”
Allah Taala berfirman: “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu
Muhammad SAW bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu.”
Jibril a.s. kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai
Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala.”
Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya
kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala.”
Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab
Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin
ternakannya menuju di hadapan Allah Taala. Allah Taala berfirman: “Wahai
hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah
diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!”
Hamba-hamba Allah Taala terdiam. Allah Taala berfirman: “Hari ini, Kami
akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku
akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang
menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka!
Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!”
Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik!
Allah Taala telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.”
Malik bertanya: “Apakah hari ini?”
Jibril menjawab: “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah
ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan.”
Malik berkata: “Wahai Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan
makhluk?”
Jibril menjawab: “Ya!”
Malik bertanya: “Di mana Muhammad dan umatnya?”
Jibril berkata: “Di hadapan Allah Taala!”
Malik bertanya lagi: “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap
kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua
adalah umat yang lemah?”
Jibril berkata: “Aku tidak tahu!”
Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan.
Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras,
kuat dan panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk
melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis).
Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih.
Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan
mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.
Rasulullah SAW Membela Umatnya
Di padang mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah Nabi Ibrahim a.s.
Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan
Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini!
Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini.”
Allah Taala berfirman: “Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih
mengazab kekasihnya.”
Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu
menyeru: “KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak
meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy
lalu menyeru: “Tuhanku… Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak
meminta melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad SAW menyeru:
“Tuhanku.. Penguasaku Penghuluku…. !Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya
aku meminta untuk umatku dariMu!”
Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: “Siapakah yang memberi syafaat
kepada umatnya?”
Neraka pula berseru: “Wahai Tuhanku… Penguasaku dan Penghuluku!
Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari
kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah
umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”
Malaikat Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka
sujud di hadapan Tuhannya.
Allah Taala berfirman: “Di mana matahari?” Maka, matahari dibawa
mengadap Allah Taala. Ia berhenti di hadapan Allah Taala.
Allah Taala berfirman kepadanya: “Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu
untuk sujud kepada kamu?”
Matahari menjawab. “Tuhanku! Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus
memerintahkan mereka berbuat demikian sedangkan aku adalah hamba yanghalus?”
Allah Taala berfirman: “Aku percaya!”
Allah Taala telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali
ganda. Ia telah dihampirkan dengan kepala makhluk.”
Ibnu Abbas r.h. berkata: “Peluh manusia bertiti dan sehingga mereka
berenang di dalamnya. Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk yang
sedang panas. Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit.
Air mata mengalir seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia
semakin kuat.
Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan
kering dari pipinya. Sekali, baginda SAW sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi,
baginda SAW rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya.
Para Nabi melihat keluh kesah dan tangisannya. Mereka berkata: “Maha
Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan Allah Taala ini begitu mengambil
berat, hal keadaan umatnya.
Daripada Thabit Al-Bani, daripada Usman Am Nahari berkata: “Pada suatu
hari Nabi SAW menemui Fatimah Az-Zahara’ r.h. Baginda SAW dapati, dia sedang
menangis.”
Baginda SAW bersabda: “Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu
menangis?”
Fatimah menjawab: “Aku teringat akan firman Allah Taala.”
“Dan, kami akan menghimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati walau
seorang daripada mereka.” Lalu Nabi SAW pun menangis. Baginda SAW bersabda:
“Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang terlalu
dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan perasaan
dahaga dan telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air
mata mereka mengalir di pipi.”
Fatimah r.h. berkata: “Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu
terhadap lelaki?”
Baginda SAW menjawab: “Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap
orang akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar firman
Allah Taala, “Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang
cukup menyibukkannya.” (Surah ‘Abasa, ayat 37)
Fatimah r.h. bertanya: “Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat
nanti, wahai bapaku?”
Baginda SAW menjawab: “Kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku
sedang memberi minum umatku.”
Fatimah r.h. bertanya lagi: “Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?”
Baginda SAW bersabda: “Kamu akan menjumpaiku di atas Sirat sambil
dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: “Tuhan Kesejahteraan! Tuhan
Kesejahteraan! Para malaikat akan menyambut: “Aamiin.”
Ketika itu juga, terdengar seruan dari arah Allah Taala lalu berfirman:
“Nescaya akan mengikuti kata-katanya pada apa yang kamu sembah.”
Setiap umat akan berkumpul dengan sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu
juga, neraka Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana
burung mematuk kacang.
Apabila seruan dari tengah Arasy kedengaran, maka manusia yang
menyembah-Nya datang beriring. Sebahagian daripada orang yang berdiri di situ
berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW!”
Allah Taala berfirman kepada mereka, “Mengapa kamu tidak mengikuti orang
yang kamu sembah?”
Mereka berkata: “Kami tidak menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami
tidak menyembah selainNya.”
Mereka ditanya lagi: “Kami mengenali Tuhan kamu?”
Mereka menjawab: “Maha Suci diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya.”
Apabila ahli neraka dimasukkan ke dalamnya untuk diazab, umat Muhammad
SAW mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat Zabaniah
mencela mereka. Mereka berkata: “Marilah kita pergi meminta syafaat kepada
Muhammad SAW!”
Manusia berpecah kepada tiga kumpulan.
1. Kumpulan orang tua yang menjerit-jerit.
2. Kumpulan pemuda.
3. Wanita yang bersendirian mengelilingi mimbar-mimbar.
Mimbar para Nabi didirikan di atas kawasan lapang ketika kiamat. Mereka
semua berminat terhadap mimbar Nabi Muhammad SAW. Mimbar Nabi Muhammad SAW
terletak berhampiran dengan tempat berlaku kiamat. Ia juga merupakan mimbar
yang paling baik, besar dan cantik. Nabi Adam as dan isterinya Hawa berada di
bawah mimbar Nabi SAW.
Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: “Wahai Adam! Ramai dari
zuriatmu dari umat Muhammad SAW serta cantik wajah mereka. Mereka menyeru: “Di
mana Muhammad?”
Mereka berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW. Semua umat telah
mengiringi apa yang mereka sembah. Hanya tinggal kami sahaja. Matahari di atas
kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula, cahaya juga telah membakar
kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada
Allah Taala untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami akan pergi ke
syurga atau neraka.”
Nabi Adam as berkata: “Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan
dosa-dosaku. Aku mendengar firman Allah Taala: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya
kerana lalai. Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as yang telah berumur, umur yang
panjang dan sangat sabar. Mereka menghampirinya.Apabila Nabi Nuh as melihat
mereka, dia berdiri.
Pengikut (umat Nabi Muhammad SAW) berkata: “Wahai datuk kami, Nuh!
Tolonglah kami terhadap Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan
mengutuskan kami dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka.”
Nabi Nuh a.s. berkata: “Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku
pernah mendoakan agar kaumku dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah
kamu berjumpa Ibrahim kekasih Allah Taala! Mintalah kepadanya agar menolong
kamu!”
Nabi Ibrahim a.s. berkata: “Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam
usiaku sebanyak tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku.
Pergilah kamu berjumpa Musa a.s.! Mintalah pertolongan darinya!”
Nabi Musa a.s. berkata: “Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah
membunuh seorang jiwa tanpa hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri.
Aku dapati dia melampaui batas terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin
memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya lalu menumbuk lelaki tersebut.
Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku. Pergilah kamu berjumpa
Isa a.s.!”
Mereka pergi berjumpa Nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata: “Sesungguhnya
Allah Taala telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku,
ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah Taala. Hari ini, aku malu untuk bertanya
kepadaNya mengenai ibuku Mariam.”
Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra’ sedang duduk. Ketika
Mariam melihat umat Nabi Muhammad SAW dia berkata: “Ini umat Nabi Muhammad SAW.
Mereka telah sesat dari Nabi mereka.”
Suara Mariam, telah didengari oleh Nabi Muhammad SAW Nabi Adam a.s.
berkata kepada nabi Muhammad SAW. “Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling
mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala.”
Nabi Muhammad SAW menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: “Marilah
kepadaku, wahai umatku! Wahai sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku
tidak pernah lari dari kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah Taala
untukmu!”
Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul di sisinya.
Terdengar suara seruan: “Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!” Nabi
Adam as berkata: “Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan
meminta kepadaku.”
Nabi Adam a.s. pergi menemui Allah Taala. Allah Taala berfirman
kepadanya: “Wahai Adam! Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!”
Nabi Adam a.s. bertanya: “Berapa ramai untukku kirimkan?”
Allah Taala berfirman: Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke
syurga, 999 orang ke neraka.”
Allah Taala berfirman lagi: “Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat
orang yang berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi
anakmu keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang
mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri
janji Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai
berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji sawi, bawalah dia
untuk memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah
menjadikan bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan
dengan sepuluh pahala agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak
akan memasukkan mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan
dikembalikan dengan dosa bagi orang yang melampaui batas.”
Nabi Adam a.s. berkata: “Tuhanku! Penguasaku! Engkau lebih utama bagi
menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui
sesuatu yang ghaib!”
Umat Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat
Allah Taala menyeru: “Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab dan
lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 500 tahun
perjalanan.”
Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: “Wahai
Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada perlepasan dari
Allah Taala, maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia akan
terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan
agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!”
Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: “Wahai Malik! Dengan
kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga
mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila
melihatmu.”
Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW. Umat
Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad SAW
mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: “Ikutlah aku wahai umatku di
atas Sirat ini!”
Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar. Kumpulan
kedua melintasi seperti angin yang kencang. Kumpulan ketiga melintasi seperti
kuda yang baik. Kumpulan yang keempat seperti burung yang pantas. Kumpulan yang
kelima berlari. Kumpulan keenam berjalan. Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk
kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka.
Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda SAW
melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan menarik
tangannya dan membangunkan dia kembali. Kumpulan ke lapan menarik muka-muka
mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang
buruk, mereka akan menyeru: “Wahai Muhammad SAW!”
Nabi Muhammad SAW berkata: “Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan
mereka!”
Anak-anak Yang Meninggal Sebelum Baligh
Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka
tidak diizinkan untuk menyeberang. Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok
yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira melainkan Allah
Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa
di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh.
Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi
mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala
dari sutera. Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat.
Mereka memasuki syurga bersama-sama.
Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara
tangisan mereka semakin nyaring.
Mereka berkata: “Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku
melihat bapa dan ibuku.”
Kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul.
Mereka berkata: “Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia.”
Malaikat berkata kepada mereka: “Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu
berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka.”
Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata:
“Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan
menyatukan kami dengan mereka.”
Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat
pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil “Tempat
Teropong.” Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat.
Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan
yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada
bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya.
Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak akan
meninggikan tangisan mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang berlaku pada
kanak-kanak ini?” Malaikat menjawab: “Mereka menangis kerana berpisah dengan
bapa dan ibu mereka. “Nabi SAW bersabda: “Aku akan menyelidiki khabar mereka
dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah.”
Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di
belakang. Setiap kaum akan kekal di dalam rumah-rumah mereka. Kita memohon
kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan
kita sebahagian daripada mereka.
Dipetik Dari Buku: 1001 Duka Siri 1 “1001 Duka Siri 1 “Himpunan
Kisah-kisah Menyayat Hati”
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.
Sumber: DarulNuman
Ulasan